Monday, October 3, 2016

Bahaya polistirena: Demi alam sekitar - Sinar Harian

3 Okt 2016


LEBIH 280,000 tan buangan sampah bekas polistirena diguna pakai kini manakala, plastik merupakan sumber buangan kedua terbesar di negara ini.
Bahan plastik dan polistirena mengambil masa antara 500 hingga 1,000 tahun untuk mereput.
Penggunaannya yang berterusan dan tidak terkawal bahan buangan yang sukar dimusnahkan secara semula jadi itu akan mengundang malapetaka kepada dunia dan generasi akan datang.
Sehubungan itu, langkah Perak untuk menjadikan negeri itu sebagai negeri bebas beg plastik dan polistirena dilihat banyak pihak sebagai satu langkah yang bijak, namun memerlukan penelitian dalam pelaksanaannya supaya masyarakat mampu menjadikannya sebagai budaya harian.
Kempen negeri bebas beg plastik dan polistirena secara berperingkat mulai 2017 dianjurkan di atas kesedaran untuk menjaga alam sekitar supaya tidak dicemari dengan bahan-bahan buangan itu yang sukar dimusnahkan secara semula jadi.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, jika tiada kawalan, beg plastik dan polistirena yang dibuang akan meninggalkan kesan yang buruk kepada alam sekitar sekali gus meninggalkan pemandangan kurang cantik di tempat awam mahupun taman.
Muhammad Amin berkata, Akta Alam Sekitar dan Akta Kerajaan Tempatan boleh digunakan bagi menguatkuasakan larangan penggunaan bahan itu.
“Mungkin jika perlu beberapa enakmen baharu boleh dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri untuk diluluskan dan dikuatkuasakan.
“Bagaimanapun, kerajaan negeri mengadakan kempen kesedaran awam melalui pendidikan, seminar dan demonstrasi bahayanya penggunaan bahan plastik dan polistirena ini,” katanya.
Jelasnya, suatu tempoh diberikan kepada masyarakat untuk bersama-sama bersedia membudayakan penggunaan beg sendiri atau beg mesra alam ketika membeli belah.

“Kempen ini tidak menjejaskan aktiviti pelancongan malah pelancong sendiri akan menghormati peraturan negeri kerana kita mengambil langkah proaktif bersama negara lain dalam penjagaan alam sekitar untuk kelestarian alam sekitar kini dan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri, Abdul Razak Abdul Manaf berkata, jabatannya sentiasa menyokong usaha kerajaan negeri dengan kempen tanpa beg plastik berkenaan.
“Kami menyokong usaha kerajaan negeri yang juga ahli jawatankuasa Teknologi Hijau Negeri terutama kempen-kempen yang diadakan kelak,” katanya.

Kerajaan negeri perlu sediakan insentif
PENGGUNAAN beg plastik dalam kehidupan harian rakyat di negara ini bukan satu perkara baru malah dilihat penting terutamanya ketika membeli belah.
Penyelidik lapangan Sahabat Alam Malaysia, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, jika kerajaan negeri mahu penggunaan beg plastik dihentikan, mereka perlu memberi insentif sebagai galakan supaya masyarakat menggunakan alternatif lain bagi menggantikannya.
Menurutnya, pengusaha industri kilang beg kertas pula perlu diberi pengecualian cukai supaya mereka boleh menampung keperluan orang ramai untuk menggantikan beg plastik daripada terus digunakan di negeri ini.
“Usaha dan komitmen yang diberikan semua pihak penting dalam menjayakan kempen ini perlu diambil kira sebagai permulaan baik ke arah memartabatkan kepentingan alam.
“Justeru, penggunaan beg yang mesra alam atau alternatif lain perlu dilaksanakan bagi mengurangkan penggunaan beg plastik,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri melalui portfolio alam sekitar perlu memainkan peranan penting bagi merealisasikan perkara itu.
“Selain itu, pihak berkaitan perlu mendidik bagi memberi kesedaran akan tindak balas penggunaan beg plastik kepada orang ramai.
“Orang ramai boleh membeli makanan menggunakan mangkuk tingkat atau bawa bekas sendiri. Lazimnya, buat permulaan memang agak sukar untuk dilaksanakan, namun jika kerajaan negeri dan agensi berkaitan melakukan secara berterusan tidak mustahil perkara ini dapat dijayakan,” jelasnya.
Dari sudut pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Meor Razak berkata, pihaknya hanya mampu mengadakan kempen namun terhad memandangkan mereka memerlukan dana kewangan bagi pelaksanaannya.
“Jika kerajaan negeri atau ada agensi lain yang tampil membantu menyumbangkan dana, kita boleh bantu mengadakan kempen dengan lebih efisien dan efektif.
“Bagaimanapun, NGO tetap meneruskan kempen, pameran serta menyampaikan ceramah kepada pelajar dan selitkan kepentingan menjaga alam sekitar serta cara pelupusan sisa pepejal jika penggunaan beg plastik diteruskan.
“Contoh pembersihan pantai botol plastik, bahan berasaskan plastik boleh menyebabkan haiwan mati akibat tersekat serta beri kesan kepada alam sekitar dan kesihatan.
“Sehubungan itu, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing supaya kempen hentikan penggunaan beg plastik ini dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Usahawan Gerbang Malam, Ahmad Irwan Othman berkata, setakat ini pihak penjaja belum dimaklumkan secara rasmi berhubung perkara tersebut.
Katanya, sebelum ini kempen hari tanpa beg plastik hanya dikuatkuasakan di pasar raya sahaja dan belum sampai kepada pihak penjaja kecil-kecilan.
“Kita rasa mungkin penerimaan peniaga 50-50. Sebagai contoh, pembelian kasut berkotak, jika tidak menggunakan beg plastik, ia mungkin menyukarkan pembeli untuk membawanya jika mereka membuat pembelian lebih daripada satu kotak,” jelasnya.
Ahmad Irwan menambah, bagaimanapun, pihak persatuan sedia untuk berbincang dengan pihak berkaitan jika perkara ini akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
“Berikutan itu, kita mencadangkan supaya tempoh percubaan perlu dilakukan bagi mendapatkan maklum balas daripada pelanggan sebelum ia dilaksanakan,” katanya.


No comments: