Showing posts with label Dato Zamri Man. Show all posts
Showing posts with label Dato Zamri Man. Show all posts

Sunday, June 11, 2017

MBI Tegas Terhadap Pembuang Sampah - Suara Perak

June 9, 2017


Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sentiasa tegas dalam menjalankan tindakan penguatkuasaan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh, termasuk terhadap mereka yang membuang sampah merata-rata.
Terbaru, pada 8 Jun lalu, Penguatkuasa MBI telah mengeluarkan kompaun bernilai RM100 di bawah Akta Jalan, Parit & Bangunan Sek. 47 (1) (a) kepada seorang warga negara Bangladesh yang membuang sampah di Lorong Taman Ipoh 1.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, daripada intipan yang dijalankan dari jam 9 pagi hingga 12 tengahari pula, sejumlah enam kompaun bernilai RM950 di bawah Akta Jalan, Parit & Bangunan dan UUK Pelupusan, Pembuangan & Pemungut Sampah Sarap telah dikeluarkan kepada peniaga-peniaga di Taman Ipoh Selatan.
“Didapati kebanyakan pekedai yang dikompaun tidak menyediakan tong sampah dan mereka telah dinasihatkan untuk menyediakan tong sendiri,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Beliau memberitahu, pada tahun 2016, sejumlah 627 kompaun bernilai RM86,440 telah dikeluarkan manakala pada tahun ini, sehingga hujung bulan Mei, 1,579 kompaun bernilai RM332,600.00 telah dikeluarkan terhadap pembuang sampah.
Zamri berkata, MBI berharap dengan intipan seumpama itu akan mengatasi masalah sampah di Bandaraya Ipoh.
“Tindakan mengkompaun adalah tindakan terakhir yang diambil oleh MBI setelah usaha-usaha lain gagal,” ujarnya.

Thursday, October 8, 2015

MBI Komited Tangani Masalah Anjing Terbiar - Perak Today

6 Okt 2015


IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh MBI) komited dalam menangani masalah anjing terbiar yang berkeliaran di sekitar bandaraya tersebut.
Bagi tempoh Januari hingga September bagi tahun 2015, MBI telah berjaya menangkap 1,169 ekor anjing terbiar.
Jumlah tersebut meningkat sedikit berbanding tahun 2014 yang mencatatkan tangkapan sebanyak 1,119 ekor anjing.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, bagi menangani masalah anjing terbiar, satu Unit Kawalan Anjing Terbiar, Bahagian Pengutkuasa MBI telah diwujudkan.
“Ia adalah bertujuan untuk menyelesaikan aduan awam berkaitan anjing-anjing terbiar (tiada lesen) dengan menangkap dan memindahkan haiwan berkenaan ke tempat yang lebih selamat,” katanya.
Tambah beliau lagi, bagi tempoh bermula daripada 1 Januari hingga 29 September 2015, sejumlah 17,922 lesen anjing bernilai RM179,220.00 telah dijual.
“Pada masa ini, kaedah yang masih digunakan termasuklah tembakan pelali, perangkap, gelung penjerut dan jaring yang mana sebahagian peralatan ini telah dibekalkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada MBI,” jelasnya lagi.
Beliau juga menyatakan bahawa pihak MBI sedia untuk membantu Jabatan Perkhidmatan Veterinar menangani wabak penyakit rabies berkaitan haiwan peliharaan dan ternakan seperti yang wujud di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
“Semua warga kota Ipoh diseru untuk membantu pihak Majlis dalam usaha menyalurkan apa-apa maklumat berkaitan ke talian 05-2551515 (MBI), 05-2083100 (Penguatkuasa) atau laman web MBI, www.mbi.gov.my,” katanya lagi.

Ipoh Antara Bandar Raya Terbersih Di Malaysia - Perak Today

6 Okt 2015


IPOH: Bandaraya Ipoh telah diiktiraf menjadi antara bandar yang terbersih di negara ini.
Pengiktirafan tersebut menjadi satu kebanggaan bagi warga kota dan juga rakyat di negeri Perak.
Menurut Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man, masyarakat di bandaraya tersebut seharusnya bersyukur dengan kemudahan dan perkhidmatan telah diberikan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Ujarnya, MBI telah memberikan komitmen yang jitu dalam memastikan bandaraya Ipoh sentiasa berada dalam keadaan yang bersih.
“Ini terbukti dengan kesungguhan MBI iaitu bermula dari 1 Januari hingga 25 September 2015 yang mana MBI telah membersihkan 8,154.12 kilometer (km) longkang, 3,898 longgokan sampah haram; melupuskan 137,328 tan sisa domestik; menjalankan 239 program gotong-royong dan 37 gotong-royong basmi denggi.
“Selain itu, MBI juga telah memasang 403 papan tanda ‘Dilarang Membuang Sampah, serta mengeluarkan 610 kompaun bernilai RM84,200.00 terhadap pesalah pembuang sampah,” katanya melalui satu kenyataan media di sini.
Beliau yakin kegemilangan bandaraya Ipoh sebagai bandaraya terbersih di Malaysia akan diiktiraf dengan komitmen semua pihak dan tidak hanya bergantung semata-mata kepada MBI.
“Semoga kebersihan akan dijadikan sebahagian daripada budaya yang diamalkan dalam kehidupan seharian. Dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, kita pasti akan mencapai cita-cita tersebut,” katanya lagi.