Tuesday, September 12, 2023

Ipoh Bandar Ekonomi Donat Perak - satu pandangan

Pandangan daripada Dr. Richard Ng

Presiden, Pertubuhan Prihatin Bandaraya Ipoh (Ipoh City Watch)
Merangkap Pengarah Akademik Loyal Academy – UTMSPACE
Mantan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh


1.     Apakah penjelasan anda mengenai Model Pembangunan Ekonomi Donat?

 

Model Pembangunan Ekonomi Donat merupakan satu konsep ekonomi yang baru yang diketengahkan oleh Profesor Kate Rayworth, seorang professor ekonomi dari University of Oxford pada tahun 2012 yakni satu konsep ekonomi yang masih muda lagi yang mungkin masih kurang difahami masyarakat mahupun dipihak pelaksana.



Konsep ekonomi donat ini bertujuan untuk menyediakan satu visual rangka kerja pembangunan yang mapan dalam bentuk kuih donat di mana bulatan dalam mewakili keperluan asas sosial manakala bulatan luar mewakili siling ekologi. Menurut Rayworth, Pembangunan ekonomi abad kedua puluh satu perlu mengambil kira pembangunan yang mapan di mana keperluan asas hidup seperti makanan, perumahan, penjagaan kesihatan serta suara politik semua orang tidak diabaikan dalam masa yang sama keperluan ini tidak memberi tekanan dan melangkaui sistem pemeliharaan kesihatan bumi kita seperti cuaca yang stabil, kesuburan tanah dan perlindungan kepada lapisan ozon.

 

Dalam bahasa mudah, ekonomi donat memberi penekanan kepada cabaran pembangunan ekonomi dan kemajuan penduduk supaya berada dalam zon sempadan dalaman keperluan asas sosial dan sempadan luaran keperluan ekologi planet. Di dalam zon inilah kita perlu fikir tentang pertumbuhan Keluaran Negara Kasar (GDP) untuk masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana ke

arah pencapaian keperluan asas sosial.

 

Keperluan asas sosial dalam konsep ekonomi donat ini adalah diilhamkan dari Sasaran Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau UN Sustainable Development Goals 2030 yang merangkumi 17 sasaran dan bertujuan untuk mempastikan tiada seorang pun yang tertinggal dan terpinggir dari arus pembangunan. 

 

Antara penanda aras yang dicadangkan untuk keperluan asas sosial dalam ekonomi donat termasuk; Jaminan makanan, Kesihatan, Pendidikan, Pekerjaan dan Pendapatan, Keamanan dan Keadilan, Suara Politik, Kesamarataan Sosial, Kesamarataan Jantina, Perumahan, Jaringan Sosial, Tenaga dan Air.

 

Manakala penanda aras siling ekologi pula merangkumi; Perubahan Cuaca, Keasidan Lautan, Pencemaran Bahan Kimia, Penggunaan bahan baja Nitrogen and Fosforan, Penggunaan Air Tawar tanpa kawalan, Penyalah Gunaan Asal Tanah, Kemusnahan Habitat, Pencemaran Udara, dan Penipisan Lapisan Ozon.

 

Walupun siling ekonologi tiada kaitan dengan keperluan asas sosial namun kesannya amat buruk dan boleh menjejaskan pencapaian sasarannya. Justeru sebarang pembangunan ekonomi perlu memastikan ianya tidak hilang kawalan sehingga “terkeluar” dari bulatan luar sambil memastikan keperluan asas sosial minimum.

 

Kajian empirical ke atas 150 negara terpilih pada tahun 2018 menunjukkan bahawa sehingga hari ini belum ada negara yang berjaya mencapai keperluan asas seperti yang dinyatakan dalam ekonomi donat.

 

Negeri Perak merupakan negeri pertama di Malaysia yang menyahut cabaran pelaksanaan Ekonomi Donat di mana Majlis Bandaraya Ipoh menjadi peneraju pertama dalam kalangan semua Pihak Berkuasa Tempatan.   

 

 

2.     Bagaimana model itu boleh dilaksanakan di negeri Perak khususnya Ipoh?

 

Bagi membolehkan Ekonomi Donat ini dilaksanakan dengan jayanya adalah penting semua pemegang taruh perlu memahami konsep tersebut. Kerajaan Negeri Perak telah mempertanggungjawabkan perkara ini kepada think-tanknya iaitu Institut Darul Ridzuan (IDR) untuk mengkaji pembolehubah atau ‘variable’ yang boleh memacu ke arah pencapaian keperluan asas sosial. Ini perlu kemudian diterjemahkan dalam bentuk penanda aras dan pelan tindakan strategik.

 

Pihak IDR perlu mengenal pasti semua pemegang taruh yang terlibat seperti agensi-agensi pelaksana Kerajaan, pihak swasta, ahli akademik serta NGO yang mempunyai kepakaran tertentu. Ianya kemudian disusuli dengan sesi percambahan minda yang melibatkan semua pemegang taruh ini. Pelan Tindakan Strategik kemudian dibangunkan yang memuatkan semua pembolehubah yang dicadangkan serta sasaran dan penanda arasnya. Ia juga mesti mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab sebagai pelaksana.

 

Satu ‘Pilot Project’ melibatkan suatu populasi terpilih kemudian dilaksanakan untuk melihat impaknya serta mencatatkan sebarang kelemahan yang bakal wujud. Program pelaksanaan ini kemudian boleh diubahsuai dengan mengambil kira semua maklumanbalas.

 

Kajian sosio-ekonomi dan demografi perlu dibuat terlebih dahulu sebelum sebarang penanda aras dibuat. Pegawai pelaksana perlu memahami secara mendalam apa-apa keperluan asas bagi sesuatu populasi. Apabila Pelan Tindakan Strategik telah dibangunkan maka Kerajaan Negeri perlu menyediakan semua system sokongan termasuk keperluan infrastruktur dan kewangan.

  

3.     Apakah cabaran pembangunan ekonomi Ipoh dan Perak?

 

Bandar Raya Ipoh yang ditadbir Majlis Bandaraya Ipoh adalah merangkumi keluasan tanah lebih dari 64 ribu hektar tanah dengan 55 peratus merupakan hutan simpanan. Terdapat jurang perbezaan yang besar dari segi GDP penduduk bandar dan kampung. Keperluan asas juga berbeza.

 

Walaupun Ipoh sedang mengalami pembangunan pesat namun ia menghadapi pelbagai cabaran menarik pelabur berbanding dengan Pulau Pinang, Seremban, dan Melaka. Ipoh juga mempunyai banyak bangunan warisan serta bangunan using.

 

Kekurangan peluang pekerjaan telah menyebabkan ramai warganya telah berhijrah keluar dari Ipoh terutamanya ke Singapura, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Justeru, terdapat aliran keluar mereka yang berkemahiran dan berlayakan tinggi.

 

Ipoh juga telah menjadi tumpuan kepada warga miskin dan gelandangan di mana adalah dianggarkan sebanyak 20 peratus penduduk kini menyumbang kepada kemiskinan bandar. Dalam pada itu Ipoh juga mempunyai isu penuaan di mana adalah dianggarkan sebanyak 10 peratus penduduk telah menjangkaui usia 65 tahun. Isu warga miskin bandar dan penuaan turut meningkatkan keperluan penjagaan kesihatan.

 

Masyarakat Ipoh juga berpecah akibat peninggalan zaman penjajah British yang menempatkan bangsa berbeza di penempatan yang berbeza. Kos perumahan yang semakin meningkat tidak lagi mampu dicapai oleh kebanyakan penduduk tempatan.

 

Tahap kesedaran Masyarakat terhadap Kelestarian Alam Sekitar dan Kebersihan di Ipoh masih rendah. Misalnya pada tahun 2017, Majlis Bandaraya Ipoh melaporkan kadar kitar semula sebanyak 17.5 peratus berbanding dengan 22 peratus kadar kitar semula nasional seperti yang dilaporkan oleh pihak SWCorp.

 

Larangan Penggunaan Plastik Perak pada tahun 2016 juga tidak dapat dilaksanakan sehingga hari ini akibat tekanan dari Persatuan Pengilang Plastik Malaysia. Tahap kebersihan bandar raya Ipoh belum boleh dibanggakan akibat penguatkuasaan yang lemah.

 

Banyak perniagaan terutama dalam sektor pelancongan seperti perhotelan masih belum pulih dari pandemik covid sehingga kini.

 

Semua faktor ini mempengaruhi pelaboran dan seterusnya menjejaskan Pembangunan ekonomi. Ini sudah tentu menjejaskan pencapaian keperluan asas sosial.

 

 

 

 

4.     Apakah kejayaan / contoh terbaik Model Pembangunan Ekonomi Donut yang boleh dirujuk atau diikuti oleh negeri Ipoh & Perak?

 

Satu kejayaan ekonomi donat yang boleh dicontohi adalah seperti yang dilaksanakan di bandar raya Amsterdam pada bulan Apri 2020. Bandar raya ini pada mulanya mempunyai cita-cita yang besar dalam pembangunan hartanahnya demi menyediakan kehidupan berkualiti kepada penduduk.

 

Akan tetapi pihak berkuasa Amsterdam telah mendapati bahawa terdapat 20 peratus dari penduduknya tidak mampu membayar sewa rumah. Manakala 12 peratus daripada 60 ribu pemohon rumah mampu milik berjaya dala permohonan mereka. Untuk menyediakan banyak lagi rumah mampu milik, pihak berkuasa Amsterdam perlu membangunkan tanah mereka dan ini menjejaskan kelestarian alam sekitar dan meningkatkan jejak karban.

 

Dengan konsep ekonomi donat, keseimbangan dapat dicari bagi memenuhi keperluan asas sosial tanpa menjejaskan ekologi planet. Kejayaan Amsterdam telah dicontohi oleh bandar raya lain seperti Copenhagen, Brussels, Dunedin (New Zealand), dan Nanaimo (British Colombia).

 

Justeru, inisitif Kerajaan Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh adalah suatu Langkah bijak bagi mempastikan tiada warga Perak amnya dan warga Ipoh khasnya terpinggir dan tersisir dari arus Pembangunan sambil memastikan planet kita sihat.

 

 

 

5.     Apakah catalyst / pemangkin utama Ipoh/Perak utk menjayakan model ekonomi Donut.

 

Kejayaan di Amsterdam telah membuktikan bahawa pelaksaannya mesti melibatkan semua agensi Kerajaan dan pemegang taruh. Ia juga perlu dibuat perancangan yang rapi dengan pelan tindakan strategik yang kemas mengambil kira semua pembolehubah keperluan asas sosial sambil memastikan keperluan ekologi kita.

 

Pelaksanaannya juga perlu tertumpu kepada satu zon tertentu atau populasi pilihan sehingga ianya berjaya. Ia kemudian disusuli dengan suatu model pelaksanaan tempatan yang perlu diubahsuai mengikut populasi.

 

Semua pihak dan pemegang taruh mesti berkomited dalam usaha ini dan memberi tumpuan sepenuhnya tanpa kepentingan peribadi.