Monday, November 23, 2015

500 Masyarakat Berbilang Kaum Meriahkan Pesta Cahaya Deepavali - Perak Today

22 November 2015


IPOH: Lebih 500 masyarakat berbilang kaum dari sekitar Daerah Kinta telah memeriahkan program ‘Pesta Cahaya Deepavali’ dan Kesejahteraan Rakyat yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Jelapang, di sini, petang tadi.
Program yang dianjurkan oleh Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dengan sokongan Kerajaan Negeri Perak serta agensi-agensi kerajaan bertujuan untuk meraikan masyarakat India yang beragama Hindu.

Menurut Naib Pengerusi PEMADAM Perak, Profesor Madya Dr. Richard Ng, antara tujuan lain program itu adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang keselamatan.
“Program ini adalah untuk memberi kesedaran tentang pentingnya komuniti mengambil tindakan pencegahan jenayah,” katanya.

Turut hadir sama, Pegawai Daerah Kinta, Tarmidzi Abu Hassan yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembanguna Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan.
Program berkenaan turut diserikan dengan ekspo yang diadakan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Agensi anti-Dadah Kebangsaan (ADK), Open University Malaysia (OUM), dan Hospital Pantai Ipoh.
Disamping itu, seramai 100 orang kanak-kanak bawah umur 12 tahun turut diraikan dengan pemberian sumbangan duit raya.
Seramai 100 orang warga emas dan ibu tunggal miskin juga tidak terkecuali daripada menerima bantuan berbentuk barangan makanan sumbangan Ipoh City Watch dan Rukun Tetangga Jelapang.

No comments: