Tuesday, January 27, 2015

Kebersihan Ipoh Mendukacitakan, Perlu Kesedaran Sivik


Satu lawatan mengejut di sekitar bandaraya Ipoh dijalankan bermula seawal 8 pagi pada Ahad. Lawatan bermula di stesen Keretapi Tanah Melayu(KTM) dan berakhir pada 1 tengahari itu turut disertai oleh Datuk Bandar Ipoh, Harun Rawi dan beberapa anggota MBI yang lain.

Keadaan di sekitar Ipoh memang amat menyedihkan, lihat sahaja sampah-sarap dan bekas-bekas makanan yang ditinggalkan oleh masyarakat, ini satu perkara yang amat memalukan buat negeri Perak.
Sebagai contoh, stesen keretapi KTM merupakan salah satu pintu masuk dan gateway kepada negeri Perak, bayangkan perasaan pelancong atau sesiapa sahaja yang turun dan melihat sampah yang berselerak di Dataran MBI.
Kesemua pihak harus bekerjasama dalam mengekalkan kebersihan setempat serta memelihara keindahan di bandar Ipoh seperti lukisan mural, deretan Memory Lane dan kedai-kedai lama yang mewujudkan suasana nostalgia kepada yang menggemarinya.
Pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah diperingatkan untuk membersihkan dan sentiasa memeriksa semula penyelenggaran sampah-sarap, rumput panjang, longkang dan lampu jalanan yang perlu diperbaiki.
Kesedaran sivik perlu disemai di dalam diri setiap warga Ipoh dalam memastikan bandaraya warisan itu terus menjadi salah satu lambang pembangunan negeri Perak.

No comments: