Friday, January 16, 2015

Bina segera kolam takungan - Sinar Harian

15 Jan 2015 oleh ISMANIZA AHMAD



IPOH - Satu takungan perlu dibina di hulu Sungai Pinji bagi menangani masalah banjir kilat yang berlaku di sekitar Kampung Sungai Rokam, Taman Maju Rapat dan sekitarnya.

Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye berkata, pembinaan takungan ini dicadangkan di hulu Sungai Pinji yang berlokasi di Tanjung Rambutan bertujuan menampung dan mengumpulkan air hujan daripada melimpah ke sungai berhampiran.
Menurutnya, perkara ini perlu diberi perhatian bagi mengelakkan banjir kilat daripada berlaku di kawasan tersebut sekiranya tiba musim hujan.

“Takungan ini juga dapat memastikan pengaliran air ke dalam sungai bersesuaian dengan kapasitinya dan adalah salah satu penyelesaian jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diharap dapat mengkaji masalah tersebut secara menyeluruh bagi melaksanakan projek tebatan banjir yang berkesan bagi menyelesaikan masalah itu daripada berulang.

Pada Isnin lalu, sebanyak 19 rumah terjejas teruk dalam kejadian banjir kilat di Kampung Sungai Rokam melibatkan Jalan Salak, Jalan Perah dan Jalan Tampoi.

Hujan lebat lewat petang itu telah menyebabkan kawasan tersebut ditenggelami air setinggi satu hingga dua meter.

Menurut penduduk, banjir kilat tersebut adalah terburuk berbanding kejadian sama pada 2008.

No comments: