Sunday, June 11, 2017

MBI Tegas Terhadap Pembuang Sampah - Suara Perak

June 9, 2017


Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sentiasa tegas dalam menjalankan tindakan penguatkuasaan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh, termasuk terhadap mereka yang membuang sampah merata-rata.
Terbaru, pada 8 Jun lalu, Penguatkuasa MBI telah mengeluarkan kompaun bernilai RM100 di bawah Akta Jalan, Parit & Bangunan Sek. 47 (1) (a) kepada seorang warga negara Bangladesh yang membuang sampah di Lorong Taman Ipoh 1.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, daripada intipan yang dijalankan dari jam 9 pagi hingga 12 tengahari pula, sejumlah enam kompaun bernilai RM950 di bawah Akta Jalan, Parit & Bangunan dan UUK Pelupusan, Pembuangan & Pemungut Sampah Sarap telah dikeluarkan kepada peniaga-peniaga di Taman Ipoh Selatan.
“Didapati kebanyakan pekedai yang dikompaun tidak menyediakan tong sampah dan mereka telah dinasihatkan untuk menyediakan tong sendiri,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Beliau memberitahu, pada tahun 2016, sejumlah 627 kompaun bernilai RM86,440 telah dikeluarkan manakala pada tahun ini, sehingga hujung bulan Mei, 1,579 kompaun bernilai RM332,600.00 telah dikeluarkan terhadap pembuang sampah.
Zamri berkata, MBI berharap dengan intipan seumpama itu akan mengatasi masalah sampah di Bandaraya Ipoh.
“Tindakan mengkompaun adalah tindakan terakhir yang diambil oleh MBI setelah usaha-usaha lain gagal,” ujarnya.

No comments: