Tuesday, October 4, 2016

RM1 Juta Untuk Cantas Pokok - Suara Perak

October 4, 2016


IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyediakan peruntukkan sebanyak RM1 juta tahun ini untuk kerja-kerja mencantas dahan pokok yang boleh mendatangkan bahaya kepada warga bandaraya.

Datuk Bandar, Datuk Zamri Man berkata, kerja-kerja cantasan itu dijalankan secara rutin di bawah penyeliaan Jabatan Lanskap dan Rekreasi MBI bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini, lebih-lebih lagi ketika musim hujan dan ribut.

Menurut beliau, pihaknya telah mendaftarkan kira-kira 5,000 batang pokok di jalan-jalan utama di bandaraya ini di bawah sistem eZe3 yang dilaksanakan sebagai data inventori pokok teduhan.

“Jadi kita berharapkan kepada warga bandaraya Ipoh, apabila melihat pokok-pokok yang besar, jangan terus mencadangkan kepada kita untuk terus tebang, kita utamakan kepada cantasan dan sebagainya.

“Kalau sudah merbahaya sangat, barulah kita ambil tindakan untuk penebangan, itu pun perkara ini akan dibawa dalam mesyuarat jawatankuasa OEC untuk proses penebangan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Penuh MBI bagi bulan September 2016 di sini pada Selasa.

Datuk Bandar berkata, sekiranya terhadap warga bandaraya yang menebang sendiri pokok-pokok berkenaan, pihak MBI mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan penguatkuasaan.

Beliau memberitahu, sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini seperti pokok tumbang baru-baru ini yang menghempap warga bandaraya, mereka boleh menuntut gantirugi mengikut prosedur yang ditetapkan.

Beliau menambah, tuntutan gantirugi itu bukan sahaja disebabkan pokok tumbang tetapi juga dalam beberapa kes lain seperti cermin kenderaan pecah kerana terkena batu ketika kerja-kerja memotong rumput di kawasan MBI.

Terdahulu di dalam ucapannya, Zamri memberitahu, setakat Ogos 2016, MBI telah memperolehi hasil sebanyak  RM171.39 juta atau 92% berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2015, meningkat sebanyak RM2.5 juta iaitu 2%. 

Bagi prestasi kutipan pula, kata beliau, pihak MBI telah membuat kutipan sebanyak RM144.61 juta setakat Ogos 2016, meningkat RM0.92 juta atau 1% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2015.
Menurut beliau, secara keseluruhan, MBI masih berbelanja berdasarkan batas bajet dan secara berhemah. 

“Perbelanjaan keseluruhan Majlis sehingga Ogos 2016 adalah sebanyak RM116.16 juta atau 62% dari bajet yang telah dibataskan, berbanding tempoh yang sama tahun 2015, perbelanjaan telah meningkat sebanyak 12.83 juta atau 13%,” ujarnya.

Beliau menambah, bagi pembayaran pula, MBI telah membuat pembayaran sebanyak   RM112.66 juta atau 62% dari bajet yang telah dibataskan.

No comments: