Monday, October 3, 2016

Bahaya polistirena: Peniaga sokong, tapi... - Sinar Harian

3 Okt 2016

BAGI peniaga atas talian, Nurul Hidayah Ayoub, 30, penggunaan plastik penting untuk membungkus barangan dijual kepada pelanggannya.
Walaupun dia bersetuju dengan cadangan pihak kerajaan negeri itu, satu mekanisme perlu dicari bagi mengatasi masalah itu.
“Jika benar kerajaan negeri mahu melaksanakan rancangan itu, ia memberi beban kepada kami (peniaga) dan juga pembeli kerana kos terpaksa ditambah.
“Ini kerana, kami terpaksa mengguna bahan alternatif lain untuk barangan kami dan ia pastinya mahal berbanding sebelum ini, ia menjadi beban kepada kami dan pelanggan kami,” katanya.
Nurul Hidayah meminta kerajaan negeri untuk mencari jalan penyelesai terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan di dalam Perak.
“Ia adalah perkara baik tetapi jika dilaksanakan tanpa jalan penyelesaian, cadangan itu sukar untuk dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan PCK Fresh Mart Sdn Bhd iaitu rangkaian kedai runcit utama sekitar Perak, Pang Chok King berkata, apabila kempen tanpa beg plastik berkenaan dilaksanakan sedikit sebanyak menjejaskan penjualan plastik serta bekas makanan yang dijual oleh peniaga kedai terlibat.
“Memang sedikit sebanyak akan terjejas jualan kami. Namun bagi saya kempen ini harus dilaksanakan secara berperingkat dan tidak boleh dilakukan secara keseluruhan dengan mengejut.
“Kami peniaga mungkin menerima kesan yang sedikit tetapi bagi peniaga makanan pastinya menerima kesan lebih banyak,” katanya.
Katanya, pihak berkenaan perlu menyediakan alternatif lain terlebih dahulu bagi menggantikan beg plastik atau bekas makanan yang tidak dibenarkan.
“Sebelum ini peniaga makanan banyak menggunakan bekas polistirena untuk mengisi makanan dan jika ia tidak boleh digunakan pasti memberi sedikit kesukaran.
“Sediakan dahulu alternatif lain untuk mereka gunakan sebelum kempen ini dilaksanakan secara meluas,” katanya.
Bagi peniaga gerai makanan, Mariam Shafie, 53, sebagai peniaga, dia menyokong kempen berkenaan namun kerajaan harus memastikan bekas makanan yang dijual sekarang sama harga dengan bekas makanan yang dibenarkan selepas kempen itu terlaksana.
“Sekarang saya guna bekas polistirena kerana lebih mudah untuk membungkus makanan.
“Gerai saya lebih kepada layan diri dan pelanggan boleh mengambil sendiri makanan mereka sebelum membayar,” katanya.
Katanya, jika selepas pelaksanaan kempen berkenaan, diharapkan bekas makanan yang dibenarkan untuk digunakan sama harga dengan bekas makanan sekarang.
“Jika dijual dengan harga lebih mahal pasti mendatangkan masalah kepada kami dan jika mahu ditukar kepada pembalut kertas juga ada kesannya.
“Sebelum ini kami lakukan secara layan diri, mungkin jika menggunakan pembalut kertas agak lambat memandangkan kami perlu membungkus untuk pelanggan dan bukan semua tahu menggunakannya.
“Jadi kami harap perkara ini sudah difikirkan bagi kesenangan semua pihak dan kelancaran kempen dijalankan,” katanya.
Peniaga kedai makan di Taiping, Siti Hajar Ali Asak, 23, berkata, dia juga sedia maklum bahawa mulai tahun depan negeri Perak merancang untuk menjadikan negeri ini bebas beg plastik.
Menurutnya, sebagai peniaga mungkin ia sesuatu yang masih baharu dan tidak mustahil ramai belum mengetahuinya.
“Bagaimanapun, jika dilihat dari satu sudut perkara tersebut banyak memberi kesan yang bagus kepada alam sekitar.
“Apabila beg plastik dan polistirena tidak dibenarkan lagi untuk digunakan, pasti ada bahan lain yang lebih efektif,” katanya.
Tambah Siti Hajar, dia yang sudah berniaga nasi lemak dan makan tengah hari sejak empat tahun lalu juga sudah biasa dengan penggunaan beg plastik dan polistirena, namun sekiranya tidak lagi dibenarkan sebagai peniaga perlu akur.
“Sesuatu tindakan itu pasti ada kesan baik dan buruknya, tetapi dalam perkara ini sekiranya dilaksanakan ia dapat menyelamatkan daripada masalah pencemaran alam sekitar,” katanya.

No comments: