Wednesday, May 3, 2017

Bukan Drive Thru Tapi Drive Throw - Suara Perak

April 21, 2017


TELUK INTAN: Perak menjadi negeri pertama yang mengambil inisiatif untuk melancarkan program Drive Throw iaitu sistem membuang sampah yang membolehkan penduduk membuang sampah tanpa perlu turun dari kenderaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kasim berkata, pendekatan itu merupakan satu inspirasi yang akan memudahkan kerja seharian masyarakat setempat.
“Bila kita dengar memang agak lucu, sebab dia Drive Throw bukan Drive Thru macam McD atau KFC, tetapi sebenarnya ia amat meringankan kerja rakyat dan saya harap ia akan diambil serius dan diaplikasikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri Perak, sebagai permulaan,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui di Pasar Awam Langkap, pada pagi Jumaat.
Menurut beliau, program itu dilancarkan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) dalam aktiviti Hari Mengemas Perak Yang Bersih sempena Program Permukiman Menteri Besar di Hilir Perak yang berlangsung selama lima hari sehingga Sabtu ini.
Rusnah berkata, kerjasama MPTI untuk merealisasikan impian untuk program itu diharap akan mewujudkan sebuah komuniti yang mempunyai kesedaran dalam menjaga kebersihan secara asas di sekitar daerah Teluk Intan dan seterusnya ke seluruh Perak.
“Kami letakkan sebuah tong sampah yang besar lengkap dengan sebuah papan tanda, Pusat Pembuangan Sampah Pandu Lalu, ala-ala Drive Thru, tapi bersifat komuniti dan diharapkan menjadi satu ikutan PBT lain di Malaysia pula,” ujarnya.
Katanya, sesi membersihkan Pasar Awam Langkap adalah sebahagian daripada rutin susulan daripada pelancaran Perak Yang Bersih oleh Menteri Besar Perak pada 31 Mac lepas di mana mereka akan melaksanakan Tidy-Up Day atau gotong-royong pada setiap Jumaat ketiga setiap bulan.

No comments: