Sunday, April 17, 2016

‘Jatuh Cinta Dengan Bahasa Kebangsaan’ - Suara Perak

March 3, 2016

ASALNYA dari keluarga miskin, anak kampung di Tanjung Rambutan kini sudah berjaya mencipta nama sebagai seorang tokoh ilmuan dalam membantu membina masyarakat berilmu.

   Sekali pandang, tiada siapa menyangka Profesor Dr. Richard Ng bukan sahaja mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik malah juga turut memahami adat resam orang Melayu.

   Beliau menyedari betapa penguasaan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan itu amat penting sebagai bahasa penghubung di kalangan rakyat Malaysia.

   “Saya adalah anak keempat dari enam beradik yang pernah hidup susah kerana keluarga miskin  dan kami ketika itu tinggal di kampung dan ladang bercampur gaul dengan orang Melayu.

   “Walaupun masih kecil  ketika itu tetapi pemikiran saya matang kerana memahami keadaan ibu bapa saya yang hidup susah sehinggalah saya berazam untuk membantu mereka,” ceritanya ketika ditemui wakil Suara Perak.



Sanggup Masuk Kelas Malam Demi Kuasai Bahasa Melayu
Langkah pertama yang diambilnya ialah memasuki kelas malam bahasa Melayu dan akhirnya dapat menguasai bahasa itu dengan baik, setanding dengan rakan sekampungnya yang terdiri dari anak-anak Melayu.

   “Semasa belajar di Sekolah Rendah Methodist Tanjung Rambutan alirannya adalah bahasa Inggeris dan apabila tamat darjah enam saya mempunyai dua pilihan ketika itu, sama ada sambung belajar di sekolah aliran Inggeris atau aliran Melayu.

   “Akhirnya saya mengambil keputusan memilih untuk belajar di Sekolah Menengah Raja Chulan dengan memasuki kelas peralihan  pada tahun 1970 sehingga ke tingkatan enam tahun 1978.

   “Memasuki sekolah aliran Melayu ini saya rasa semangat satu Malaysia tiada terpinggir langsung semua bangsa bercampur gaul dengan penggunaan bahasa pengantar bahasa Melayu,” katanya.




Beliau menceritakan, selepas tamat tingkatan enam tahun 1978 dengan mendapat sijil penuh tetapi tidak berpeluang melanjutkan pelajaran kerana ketika itu hanya terdapat lima institusi pengajian tinggi maka beliau bekerja sambilan sebagai guru tusyen.

   “Saya mengajar di sebuah madrasah di hospital Tanjung Rambutan kerana waktu itu orang kampung mencari guru matematik yang mahir.

   “Saya merasa amat bangga kerana kesemua anak didik saya berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam matematik,” ujarnya.

Melanjutkan Pelajaran  

Memikirkan mengenai masa depannya kerana mengajar sambilan sebagai guru tuisyen tidak menjamin masa depan, Dr Richard mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang komputer sehingga akhir berjaya memperolehi diploma.

   Beliau kemudian ditawarkan bekerja sebagai pengurus di Institute Informatic sebelum dilantik sebagai Timbalah Pengarah di institut berkenaan pada tahun 1994 dan seterusnya dihantar bekerja di Singapura pada 1995 sebagai Pengarah Asia Tenggara.

   Pada 1996, beliau pulang semula ke Ipoh dengan memegang jawatan baru sebagai pengarah sebuah kolej perniagaan yang lebih menjurus kepada kursus-kursus perniagaan.

   Katanya, pada tahun 1998 beliau telah mendapat tawaran bekerja sebagai Ketua Eksekutif Kolej Utama Perak di Ipoh sebelum meletakkan jawatan dan menubuhkan kolej Teknologi PIE pada tahun 1999.


Dr Richard kemudian menyambung pelajarannya untuk mendapatkan ijazah di Ottawa Universiti, Amerika Syarikat sebelum pulang ke tanah air dan membuka sebuah kolej perniagaannya sendiri selama empat tahun dari 2000 hingga 2004.

   Kegawatan ekonomi pada waktu itu menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk menjual kolejnya dan seterusnya menerima tawaran untuk bekerja sebagai Pengarah Wilayah Wawasan Open University.
   “Selepas setahun bekerja, saya ditawarkan oleh OUM pada 2007 dengan memegang jawatan sebagai Pengarah Wilayah Perak sehingga ke hari ini,” katanya.

   Dr Richard menambah kerana prestasi kerjanya, beliau mendapat biasiswa untuk menyambung pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan seterusnya dinaikkan pangkat menjadi Profesor Madya pada 2011.

   Pada tahun 2014, beliau dinaikkan pangkat apabila dilantik sebagai Pengarah Pemasaran Pemasaran Kumpulan untuk menjaga 34 cawangan seluruh Malaysia.

 Aktif Dalam NGO 

 Walaupun kedudukannya kini stabil dan terkenal sebagai seorang tokoh ilmuan, namun  Dr Richard tetap bergerak aktif menerajui sebuah badan bukan kerajaan (NGO) diberi nama Ipoh City Watch (ICW) yang menjadi mata dan telinga kepada pembayar cukai pintu di Bandaraya Ipoh.

   Menurut beliau, ICW sebenarnya bukan NGO baharu, malah sudah wujud pada tahun 2002 tetapi telah dibubarkan oleh pihak pendaftar pertubuhan kerana menyimpang dari matlamat asal penubuhannya.

   “Sebaik mengambil alihnya selepas pembubaran pada tahun 2013, saya memfokuskan badan ini dalam pelbagai kegiatan sosial dan komuniti termasuk pemb ayar cukai pintu sehinggalah ke hari ini,” katanya.

   Pendekatan yang diambil ketika ini ialah berdamping dengan masyarakat untuk mengesan permasalahan mereka.

   “Kita mengambil pendekatan tiga prinsip iaitu mendampingi masyarakat, memahami permasalahan mereka dan mengajar atau membimbing mereka bagi menangani masalah itu,” ujarnya.

   Beliau memberikan contoh tentang isu pembayaran cukai dimana masyarakat diajar supaya melaksanakan tanggungjawab membayar cukai dan jangan hanya pandai menyalahkan kerajaan.

   “Jangan hanya pandai menyalahkan kerajaan sahaja tetapi sebagai warga Ipoh, kita juga seharusnya memberikan idea dan cadangan untuk membangunkan Bandaraya Ipoh,” tambahnya.

   Menurut Dr Richard, antara pencapaian yang dibuat oleh ICW ialah mendapat tajaan membina papan tanda (billboard) dengan mesej yang jelas iaitu `Kebersihan Bandaraya Ipoh Tanggungjawab Kita Bersama’.

   Selain itu, katanya, ICW telah dikenali ramai apabila menjadi NGO yang menjalin kerjasama dengan Perbadanan Sisa Pepejal Perak (SWCORP) dalam melaksanakan Program Komuniti berupa projek Komuniti Kitar Semula pertama di Malaysia iaitu di Jelapang Tambahan yang dilancarkan oleh Exco kerajaan negeri, YB Dato’ Rusnah Kassim pada 4 April lalu.

   “Ramai orang bertanya kepada saya mengapa dibuat projek itu di kawasan pembangkang tetapi saya memberitahu mereka, sama ada kawasan pembangkang atau kawasan BN yang penting kita turun padang bersama dengan masyarakat bagi menjayakan program komuniti ini,” katanya.

   Beliau memberitahu, program tersebut yang dihadiri hampir 200 penduduk telah berjaya menghasilkan 1,376 bahan kitar semula daripada bahan longgokan sampah haram.

No comments: