Wednesday, July 1, 2015

Ipoh Miliki 1 Bilion Tan Sampah Menjelang 2020 - Perak News

24 Jun 2015

Bayangkan bandaraya Ipoh yang "dihiasi" lebih daripada 1 billion tan longgokan sampah sarap menjelang tahun 2020.
Mungkin mengejutkan bagi sesetengah pihak namun inilah situasi yang akan terjadi di bandaraya warisan ini sekiranya masyarakat masih leka terhadap pengurusan pelupusan sampah yang efisien.
Pengerusi Ipoh City Watch, Prof Madya Dr Richard Ng berkata, jika dibiarkan berlarutan maka hasrat murni untuk melihat Ipoh sebagai bandaraya pilihan untuk didiami akan terbantut berikutan kesedaran sivik masyarakat masih berada di tahap yang rendah.

"Setakat ini, ini rekod hasil kerjasama bersama SWCorp menunjukkan sekitar 1,629 lokasi longgokan sampah haram telah dikenalpasti di sekitar Ipoh dan masalahnya sisa-sisa serta bahan buangan harian dari setiap pelusuk rumah akan dihantar ke satu-satunya tapak pelupusan sampah di Ulu Papan," katanya kepada PerakNews.
Beliau ditemui selepas mengetuai Program Kitar Semula Komuniti Jelapang Tambahan yang dianjurkan bersama SWCorp dan Rukun Tetangga Jelapang baru-baru ini.
Menurutnya, secara purata seramai 750,000 orang masing-masing akan menghasilkan purata sekitar 0.7 kg sampah setiap hari, justeru membawa kepada jumlah sebanyak 15,750 tan sampah terkumpul pada setiap bulan di Ipoh.
Kitar Semula Penyelesaian Terbaik Dalam Pelupusan Sampah
Menurut Richard, langkah terbaik dalam menangani masalah longgokan sampah haram dan memastikan tahap kualiti kebersihan bandaraya Ipoh sentiasa terjamin adalah dengan perlaksanaan kitar semula.

Justeru, ICW telah mengambil inisiatif untuk melancarkan program kitar semula dengan melibatkan 250 buah rumah di sekitar kawasan Jelapang agar mereka menjadi contoh kepada masyarakat setempat yang lain.
Berpegang kepada prinsip " Komuniti Kami, Tanggungjawab Kami' Ipoh City Watch komited dalam menjadikan Ipoh sebagai lokasi yang bersih daripada pencemaran sampah sarap dan keadaan persekitaran yang kotor.
Menurutnya, program tersebut telah dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rusnah Kasim pada 4 April lepas dan mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri dalam meningkatkan kesedaran sivik di kalangan komuniti.
Richard berkata sejak pelancaran program tersebut pada April lepas pihaknya telah berjaya mengumpulkan sebanyak 1,376 kg bahan kitar semula yang terdiri daripada plastik, besi dan kertas.
Ini juga bermakna bahawa kadar kitar semula melalui program yang dijalankan setiap 2 minggu sekali itu telah mencapai 13 peratus berbanding kadar kitar semula kebangsaan sebanyak 10 peratus.
"ICW akan melaksanakan intervensi tambahan seperti memberikan advokasi sivik dari rumah ke rumah, melaksanakan seminar kesedaran mengenai faedah kitar semula, pengasingan sampah mengikut kategori, menubuhkan Briged Belia di dalam komuniti untuk membantu kelancaran program serta mengadakan pertandingan di antara setiap kawasan dan yang terakhir mendidik komuniti mengenai cara pengkomposan bahan makanan," katanya lagi.
Faedah Pengkomposan Sisa Makanan dan Pelupusan Organik
Menurutnya, masyarakat di sekitar Jelapang telah dibimbing mengenai cara pengkomposan sisa organik yang menyumbang kepada 47 peratus daripada sampah sarap dan menjadikannya sebagai baja kepada tanaman sayuran di sekitar kediaman.

"Program tersebut telah dibimbing oleh pakar daripada pihak SWCorp yang berkongsi mengenai penyatuan enzim gula dan garam dan dicampur dengan tanah hitam sebagai ejen kompos manakala Eddie Chew pula telah menyediakan enzim tersedia dan mengaplikasikan enzim ke atas sisa organic tanpa penggunaan tanah.

"Seorang pakar organic, Mr Martin Wallen dari Australia pula mendidik mereka untuk menanam sayur dengan menggunakan sisa organic yang terkumpul di dalam bekas,"katanya lagi.
Dr Richard berkata, sebanyak 40 hingga 50 peratus akan dapat dikitar semula dan tidak dihantar ke tapak pelupusan sampah menjelang tahun 2020 sekiranya langkah awal diambil segera.
"Terlalu banyak longgokan sampah haram di sekitar bandaraya Ipoh tersayang justeru prinsip ' Reduce,Reuse dan Recycle' harus diaplikasikan segera jika kita masih berniat untuk memberikan bumi hijau bagi generasi masa depan," ujarnya.

No comments: