Wednesday, June 24, 2015

Longgokan Sampah Sampai Bila? - PerakNews.Com

6 Jun 2015


Sejak empat tahun lalu, hampir saban hari Nancy Joseph, 64, dan keluarganya, di Taman Pertama, Ipoh, terpaksa menghidu bau busuk yang menusuk hidung, yang datangnya dari longgokan sampah haram berhampiran rumah mereka.
Tikus, lalat dan nyamuk seolah-olah menjadi rakan sepermainannya sehingga dia dan keluarga sepakat membina pagar konkrit bagi menjauhi binatang dan serangga berbahaya itu, yang sering berkeliaran berhampiran rumahnya.
"Sofa lama dan pokok pisang turut dilonggokkan, tetapi yang paling memualkan ialah sampah-sampah basah seperti lebihan makanan turut dibuang di sini, baunya jangan ceritalah," itulah keluhan warga emas ini, yang sepatutnya menghidu udara nyaman dan segar sambil berehat di rumahnya.
Pengalaman Nancy mungkin turut dirasai ramai lagi warga bandaraya Ipoh, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal berhampiran tapak longgokkan sampah haram.
Malah apa yang dialami keluarga Nancy mungkin turut dirasaikan oleh keluarga lain di seluruh Perak atau mungkin Malaysia, selagi terdapat manusia yang kurang bertanggungjawab, tiada kesedaran sivik dan mahu ambil mudah, tanpa memikirkan keselesaan orang lain.
Di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), pernah suatu ketika bilangan tapak sampah haram melebih 2,000 tetai kini semakin berkurangan hasil kerja kuat serta kerjasama masyarakat setempat yang bertanggungjawab.
Apakah MBI atau pihak berkuasa tempatan lain tidak menjalankan tanggungjawab mereka? Pengalaman Nancy mungkin boleh menceritakan segala-galanya.
"Di taman saya ini, kakitangan MBI akan kutip sampah sebanyak tiga kali seminggu, dulu hari Isnin, Rabu dan Jumaat tetapi sekarang hari Selasa, Khamis dan Jumaat.
"Mereka juga akan membersihkan kawasan longgokan sampah haram di sebelah rumah saya, tapi, selepas setengah jam pihak MBI bersihkan, sudah ada orang buang sampah semula, sambil lalu, mereka campakkan sampah," cerita Nancy.
Berdasarkan cerita itu, bukanlah pihak berkuasa tempatan seperti MBI tidak menjalankan tugas, cuma sikap kurang bertanggungjawab dan kurang kesedaran sivik menjadi punca di kalangan warga tempatan.
Ahli Majlis MBI, M Veeran yang ditemui ketika program gotong royong perdana di Taman Pertama baru-baru ini mengakui bahawa pihaknya telah melaksanakan pelbagai program untuk membersihkan kawasan longgokan sampah.
Beliau memberi contoh, di kawasan Zon Buntong sahaja, kira-kira 50 tapak sampah haram dibersihkan tetapi ia tetap berulang-ulang walaupun pihak MBI meletakkan papan tanda larangan membuang sampah di tapak berkenaan.
Sebagai antara Ahli Majlis MBI yang paling aktif kerana kerap menganjurkan pelbagai program kemasyaratan di kawasan jagaannya, Veeran mahu melihat sekurang-kurangnya Zon Buntong menjadi contoh kepada zon-zon lain.
Sehubungan itu, beliau merayu penduduk taman-taman perumahan supaya mengubah sikap untuk bersama-sama menjaga kebersihan kawasan tempat tinggal mereka sendiri, untuk kebaikan mereka dan keluarga sendiri juga.
"Saya cabar warga bandaraya Ipoh, kita mensasarkan negara maju pada tahun 2020, cuma lima tahun lagi daripada sekarang, apakah hanya negara sahaja maju tetapi mentaliti kita masih ketinggalan 20 atau 30 tahun ke belakang," tegasnya.

No comments: