TELUK INTAN - Pernahkah anda terfikir kaedah drive thru atau pandu lalu digunakan untuk membuang sampah?
Bunyinya agak pelik kerana kaedah ini biasanya digunakan di restoran makanan segera sahaja.
Namun tidak bagi Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) apabila memperkenalkan kaedah itu untuk memudahkan orang ramai membuang sampah terus dari kenderaan mereka tanpa perlu memarkir kereta sebelum membuangnya di dalam tong yang disediakan.
Kaedah Drive Throw ini dilihat memudahkan orang ramai membuang sampah menggunakan kaedah pandu lalu dan memastikan sampah dibuang di dalam tong yang disediakan dan bukan dilonggokkan di tepi tong sampah.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Rusnah Kasim berkata, dengan pengenalan Drive Throw tersebut, Perak muncul sebagai negeri pertama yang mengambil inisiatif untuk melancarkan program itu di Pasar Awam Langkap.
"Ia bukan drive thru macam restoran makanan segera tetapi Drive Throw yang mana kita pandu lalu dan buang sampah ke dalam tong disediakan.
"Bila kita dengar memang agak lucu, tetapi pendekatan ini merupakan satu inisiatif yang akan memudahkan kerja seharian masyarakat setempat," katanya kepada pemberita selepas Hari Mengemas Perak Yang Bersih sempena Program Permukiman Menteri Besar di Hilir Perak, baru-baru ini.
Rusnah turut berharap, inisiatif diperkenalkan MPTI ini akan diambil serius serta diaplikasikan oleh Pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Perak malah juga dalam negara selepas ini.
"Saya harap dengan adanya inisiatif MPTI ini melalui Drive Throw ia akan mewujudkan sebuah komuniti yang mempunyai kesedaran dalam menjaga kebersihan di sekitar daerah Hilir Perak dan seterusnya seluruh Perak.
"Bagi memudahkan pengguna, MPTI meletakkan tong sampah besar lengkap dengan sebuah papan tanda Pusat Pembuangan Sampah Pandu Lalu dan ia amat mesra pengguna,” katanya.
Sementara itu, penduduk Langkap, Osman Ahmad, 53, berkata, pada mulanya dia dan penduduk sekitar ketawa apabila mendengar akan dibina tempat membuang sampah secara pandu lalu.
"Mula-mula dengar memang lucu sebab fikir selalunya orang buat untuk restoran makanan segera, tapi bila dah siap hasilnya mengagumkan.
"Malah sejak adanya Drive Throw ini, saya selalu guna motor ikut laluan disediakan, kemudian campak sampah dalam tong, amat mudah,” katanya.
Katanya, dia berharap kerajaan akan memperbanyakkan lagi kaedah itu supaya dapat mengatasi masalah sikap pemalas segelintir masyarakat melonggokkan sampah di tepi tong sampah yang disediakan.
No comments:
Post a Comment